+609 553 5555        pro@unipsas.edu.my
Facebook
Twitter
Instagram
Youtube
Staf
Pelajar
Pelawat

Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah

PEJABAT NAIB CANSELOR

PERUTUSAN NAIB CANSELOR

 

 Prof Dato’ Dr. Haji Mohd
 Zawavi bin Zainal Abidin,
 DSAP., SMP., AMP.
( Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah )

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T. Tuhan sekalian alam yang telah memberikan nikmat dan rahmat kepada kita, serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyatu ummat manusia sehingga akhir zaman.

Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) telah menyambut ulangtahun Jubli Perak penubuhannya yang ke 25. UnIPSAS yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Islam Pahang, Kolej Islam Pahang Sultan Amad Shah (KIPSAS), Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dan kemudian dinamakan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS),  telah berjaya melahirkan seramai lebih 5000 graduan dalam pelbagai disiplin ilmu dan bidang kepakaran.

Hasrat untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu dan ketrampilan insan merupakan wawasan UnIPSAS yang sentiasa menjadi keutamaan kepada semua warga kerja UnPSAS. Sebagai Institusi Pengajian Tinggi Islam, tugas utama UnIPAS adalah untuk melahirkan graduan yang dapat mengintegrasikan ilmu aqli dan naqli serta bersahsiah tinggi.

Pelbagai pencapaian yang diraih oleh UnIPSAS di sepanjang tempoh penubuhannya baik dari segi akademik, pengurusan dan mendapat pengiktirafan daripada agensi-agensi di dalam dan luar negara. Pencapaian dalam bidang akademik termasuklah pengiktirafan program-program pengajian, projek-projek penyelidikan, pembentangan dan penganjuran seminar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. UnIPSAS juga meluaskan jaringan dengan penawaran program-program pengajian yang dijalankan secara usahasama francais, jaringan kerjasama (MoU/MoA) di dalam dan luar negara dan juga program-program khidmat ummah yang giat dijalankan pada setiap tahun.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak istana, kerajaan negeri Pahang, badan-badan berkanun, NGO, syarikat-syarikat dan orang perseorangan yang telah terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam menubuhkan, membangun dan memajukan UnIPSAS.

UnIPSAS mensasarkan seramai 2,000 orang pelajar mendaftar dalam pelbagai peringkat pengajian bermula daripada asasi sehinggalah Sarjana. Bagi mencapai matlamat tersebut, penaiktarafan UnIPSAS ke status Universiti Penuh adalah menjadi usaha utama. Jika ianya menjadi realiti, UniPSAS akan menjadi sebuah Universiti Islam Pertama di pantai timur.

Saya menyeru agar kita saling terus berganding bahu untuk memastikan sasaran tersebut mampu dicapai dan tentunya tugas memperkenalkan nama UnIPSAS perlu digalas bersama. Sesungguhnya, penaiktarafan ke Universiti Penuh bukanlah hanya perubahan status ‘universiti’ sahaja malah memerlukan kepada perubahan minda, kualiti dan budaya kerja yang cemerlang.

Komitmen semua ahli akademik, pegawai dan kakitangan UnIPSAS sangat diperlukan untuk memastikan kejayaan UnIPSAS pada masa hadapan yang lebih gemilang. Insya Allah.

Justeru, saya dan seluruh pengurusan UnIPSAS; seluruh barisan kepimpinan di peringkat fakulti dan bahagian, menyeru kepada semua ahli akademik, pegawai, kakitangan, pelajar dan seluruh warga kerja UnIPSAS agar terus berusaha dan bersama-sama berdoa dan bermunajat kepada Allah swt agar kita sentiasa dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan. Semoga segala perancangan yang telah direncanakan dapat direalisasikan dengan jayanya dan dilindungi daripada sebarang keburukan.

Wassalam.

PEJABAT NAIB CANSELOR (UnIPSAS) KM 8, JALAN GAMBANG, 25150 KUANTAN

09-553 5555

09-5364421

Loading...